Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa, seorang   gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan   seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun, perkembangan   tingkah-lakunya benar-benar membimbangkan ibu.
Moga kisah yang dipaparkan oleh seorang saudara dari Indonesia ini, dapat dijadikan iktibar khususnya buat kaum hawa.
Dia  sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini   menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru Al-Quran.   Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas, ibu telah meminta adik   memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali   berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka. Pernah pada suatu   masa, adik berkata dengan suara yang agak keras,
 “Cuba  mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya  pakai tudung, tapi  perangainya sama saja macam orang yang tidak pakai  tudung. Sampai  kawan-kawan Ani di sekolah yang pakai tudung pun selalu  keluar  temu-janji dengan teman lelaki mereka dan pegang-pegang tangan.  Ani  ini, walaupun tidak pakai tudung, tidak pernah buat macam itu!”
Ibu  hanya mampu mengelus mendengar kata-kata adik. Kadang-kala saya   terlihat ibu menangis di akhir malam. Dalam qiamullailnya. Terdengar   lirik doanya,
 “Ya Allah, kenalkan Annisa dengan hukum-Mu”
Pada  satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami.  Sebuah  keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil.  Suaminya  bernama Abu Khoiri (nama sebenarnya siapa, tidak dapat  dipastikan).  Saya mengenalinya sewaktu di masjid.
Setelah beberapa lama  mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul  desas-desus mengenai  isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah,  hingga ada yang  menggelarnya si buta, bisu dan tuli.
Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik. Dia bertanya kepada saya,
“Abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?”
Lalu saya menjawab sambil lewa,
“Kalau nak tahu sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri” 
Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri.
Sekembalinya  dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang  benar-benar mendadak  berlaku pada wajah adik. Wajahnya yang tidak pernah  muram atau lesu  menjadi pucat lesi. Entah apa yang sudah berlaku?
Namun,  selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung  yang  labuh. Adik pakai baju labuh, lengan panjang pula tu. Saya sendiri  jadi  bingung. Bingung campur syukur kepada Allah Ta’ala kerana saya  melihat  perubahan yang ajaib. Ya, saya katakan ajaib kerana dia berubah   seratus-peratus! Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya   yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak   tentu arah. Saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam   (biasanya dia suka beli majalah hiburan) dan saya lihat ibadahnya pun   melebihi saya sendiri. Tidak ketinggalan tahajudnya, baca Al-Qurannya,   solat sunatnya dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya   datang, dia menundukkan pandangannya.
“Segala puji bagi Engkau wahai Allah”
Jerit hati saya.
Tidak  lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di  Kalimantan,  kerja di satu perusahaan minyak CALTEX. Dua bulan saya  bekerja di sana,  saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu  memanggil saya  pulang ke rumah ( rumah saya di Madiun). Dalam  perjalanan, saya tidak  henti-henti berdoa kepada Allah Ta’ala agar adik  diberi kesembuhan,  hanya itu yang mampu saya usahakan. Ketika saya  sampai di rumah, di  depan pintu sudah ramai orang. Hati berdebar-debar,  tidak dapat  ditahan. Saya berlari masuk ke dalam rumah. Saya lihat ibu  menangis.  Saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya. Dalam esak  tangisnya ibu  memberitahu,
“Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya”
Air  mata ini tidak dapat ditahan lagi. Setelah selesai upacara   pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di   atas mejanya terletak sebuah diari. Diari yang selalu adik tulis. Diari   tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya.   Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai hingga sampai pada   satu halaman yang menguak misteri dan pertanyaan yang selalu timbul di   hati ini. Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu   Khoiri. Di situ tertera soal-jawab antara adik dan isteri jiran kami   itu.
Butirannya seperti ini:
Soal-jawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata),
Annisa: Aku hairan, wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari, 
“Mak Cik,  wajah Mak Cik sangat muda dan cantik”
Isteri jiranku: “Alhamdulillah, sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati”
Annisa: “Tapi Mak Cik kan sudah ada anak enam, tapi masih kelihatan cantik”
Isteri  jiranku: “Subhanallah, sesungguhnya keindahan itu  milik Allah Ta’ala  dan bila Allah Ta’ala berkehendak, siapakah yang  boleh menolaknya?”
Annisa:  “Mak Cik, selama ini ibu saya selalu menyuruh  saya memakai tudung,  tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tidak ada  masalah kalau saya  tidak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik.  Saya tengok, banyak  wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi  kami yang tidak  pakai. Sampaikan saya tidak pernah rasa nak pakai  tudung. Pendapat Mak  Cik bagaimana?”
Isteri jiranku: “Annisa,  sesungguhnya Allah Ta’ala  menjadikan seluruh tubuh wanita ini  perhiasan dari hujung rambut hingga  hujung kaki, segala sesuatu dari  tubuh kita yang terlihat oleh bukan  mahram kita semuanya akan  dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Ta’ala  nanti, tudung adalah  perlindungan untuk wanita”
Annisa: “Tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tidak elok”
Isteri jiranku: “Tudung hanyalah kain, tapi hakikat atau makna di sebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami”
Annisa: “Apakah hakikat tudung?”
Isteri  jiranku: “Hakikat tudung adalah perlindungan zahir  dan batin, lindungi  mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram  kamu, lindungi lidah  kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang  sia-sia,  sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah Ta’ala,  lindungi  telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat  baik untuk  dirimu mahupun masyarakat, lindungi hidungmu dari mencium  segala yang  berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat  sesuatu yang  tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju  maksiat,  lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang  syaitan  untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu  selain  Allah Ta’ala. Bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai  akan  menyinari hati kamu. Itulah hakikat tudung”
Annisa:  “Mak Cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti  tudung. Mudah-  mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya  mahu buat semua  itu?”
Isteri  jiranku: “Duhai Nisa, bila kamu memakai tudung,  itulah kurniaan dan  rahmat yang datang dari Allah Ta’ala yang Maha  Pemberi Rahmat, bila  kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi  kekuatan untuk  melaksanakan amalan-amalan ‘tudung’ hingga mencapai  kesempurnaan yang  diinginkan Allah Ta’ala. Duhai Nisa, ingatlah akan  satu hari dimana  seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup  sangkakala yang kedua,  pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang  bertebaran dan  dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang  tanahnya dari  logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika  tujuh matahari  didekatkan di atas kepala kita namun keadaan  gelap-gelita, ketika  seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak  mempedulikan anaknya, anak  tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara  tidak kenal satu sama lain  lagi, antara satu sama lain boleh menjadi  musuh lantaran satu kebaikan  lebih berharga dari segala sesuatu yang ada  di alam ini, ketika manusia  berbaris dengan barisan yang panjang dan  masing-masing hanya  mempedulikan nasib dirinya dan pada saat itu ada  yang berpeluh kerana  rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya  akibat peluh yang  banyak dan bermacam-macam rupa bentuk manusia yang  tergantung  amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika   dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk   seperti syaitan. Semuanya menangis, menangis kerana hari itu Allah   Ta’ala murka. Belum pernah Allah Ta’ala murka sebelum dan sesudah hari   itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah Ta’ala di Padang   Mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari   itulah dipanggil hari Hisab. Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha   untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab   bila kita ditanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar, Yang Maha   Kuat, Yang Maha Agung, Allah Ta’ala”
Sampai  di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya  terhenti  dan saya lihat banyak titisan air mata yang jatuh dari pelupuk  matanya.  Subhanallah. Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat  tertera  tulisan kecil di bawah tulisan itu,
“Buta,  tuli dan bisu wanita itu ialah wanita yang tidak  pernah melihat lelaki  selain mahramnya, wanita yang tidak pernah mahu  mendengar perkara yang  dapat mengundang murka Allah Ta’ala dan wanita  yang tidak pernah  berbicara ghibah atau segala sesuatu yang mengundang  dosa dan sia-sia”
Tidak tahan air mata ini pun jatuh. Semoga Allah Ta’ala menerima adikku disisinya. Amiin.
Taken from THIS SITE 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar